Warga Arab mengharap Obama ubah hubungan AS, Asia Barat KAHERAH: Walaupun kebanyakan orang Arab sedar Amerika Syarikat akan terus menyebelahi Israel, ramai masih menaruh harapan bahawa bakal Presiden, Barack Obama akan membawa perubahan lebih baik ke Asia Barat, rantau yang paling banyak menyaksikan perasaan benci terhadap Amerika. Perubahan pentadbiran di Amerika dan tempoh George W Bush sebagai presiden yang hampir tamat menyumbang kepada pandangan lebih optimis ini.
Di sebuah salun di Kaherah, pengurusnya, Mahmoud Hassan berkata beliau lega dengan kemenangan Obama. "Saya lihat diri saya dalam diri beliau - yang berwajah seperti kita, seseorang dari Afrika dan kini memerintah dunia. "Jika saya terjumpa Obama, saya akan memberitahunya, tolong jangan kecewakan kami. Jangan biarkan harapan ini terus pudar dan biarlah kami rasa selamat dengan kamu," katanya. Untuk sekian lama, pertumpahan darah di Iraq, kebimbangan bahawa Amerika akan berperang dengan Iran, penyalahgunaan kuasa di penjara Abu Ghraib dan Guantanamo mengukuhkan pandangan ramai bahawa Amerika adalah anti Arab dan pembuli Muslim. Perasaan kecewa dan putus harapan semakin meluas dan tidak ramai yang percaya dasar Amerika akan berubah sampai bila-bila.
Sebelum kemenangan Obama, warga Arab mengingatkan diri supaya bersikap lebih realistik. Amerika, kata mereka, akan terus menunjukkan kuasanya dan sentiasa menyokong Israel. Walaupun Obama ingin mengambil pendekatan baru di Iraq, Palestin dan peperangan terhadap keganasan, beliau mungkin tidak dapat melakukannya dan pada peringkat awal, beliau begitu sibuk menguruskan krisis ekonomi Amerika. Cuma, bagi kebanyakan mereka, Obama nampak berbeza, mungkin kerana warna kulit, kaitan keluarga kerana bapanya dari Kenya adalah Muslim atau kewibawaanya. Ramai juga percaya beliau akan bersikap lebih bersimpati terhadap Palestin atau mengadakan dialog mengenai isu berkenaan dengan tujuan untuk mencari penyelesaian. Ada yang menyaksikan pilihan raya dramatik itu di Amerika berharap perubahan demokratik sama boleh berlaku di negara Arab meskipun ditadbir pemimpin autokratik yang terus mengekalkan kuasa menerusi penipuan undi. "Apabila Obama menang, saya rasa ia adalah impian rakyat Amerika. Saya menitiskan air mata kerana ia memberi saya harapan bahawa orang yang baik akan menang, dalam dunia ini di mana orang baik jarang menang," kata Iman Bibars, aktivis wanita dan penulis dari Mesir yang sering mengkritik Amerika dalam penulisannya.
Turut menjadi persoalan adalah tentangan Amerika terhadap Iran kerana program nuklearnya dan pengaruh Teheran yang semakin meningkat di Asia Barat.
No comments:
Post a Comment